Kepada saya, jawapan yang akan saya beri ialah … Negeri Kelantan, ialah sebuah negeri yang indah, dengan pemandangan landskap yang mempesonakan, dengan masyarakat yang ikhlas, jujur, berinovasi, bersemangat juang yang tinggi, bertenaga dan rajin berusaha.
Dari aspek fizikalnya, negeri ini telah banyak berubah ‘skyline’nya, sudah banyak bangunan-bangunan pencakar langit di ibu negerinya Kota Bharu, sudah banyak gedung-gedung perniagaan dibuka, pusat-pusat pengajian tinggi tidak ketinggalan, perushaan-perushaan yang dulunya bertaraf kecilan sudah berkembang menjadi perushaan sederhana dan mega, dan banyak lagi. Dan perubahan ini telah membawa bersamanya perubahan kepada keadaan lalulintas .. yang mula penuh sesak dengan kenderaan.
Pendek kata, berada di pusat bandar Kota Bharu, samalah suasananya seperti berada di mana-mana bandar utama di Negara ini.
Inilah jawapan permulaan saya kepada soalan tadi.
Jika kita lihat pula kepada masyarakatnya, juga akan kita dapati banyak perubahan. Contohnya, lapangan terbang antarabangsa Sultan Ismail Petra terletak tidak jauh dari Kota Bharu, sentiasa ramai dengan penompang. Dalam tahun 2005 sahaja lapangan terbang ini menguruskan seramai 635, 397 orang penumpang. Pendek kata, perjalanan melalui udara sudah menjadi satu perkara biasa kepada warga Kelantan. Begitu juga kompleks bas ekspress, yang telah dipindahkan ke satu lokasi baru, penuh sesak juga dengan manusia.
Dan masyarakat di Bandar pula, setanding jumlahnya dengan yang biasa kita lihat di lain-lain Bandar besar di Negara ini.
Kelantan memang sedang pesat membangun.
Sekarang ini, kita berada dalam bulan Ramadan. Lagi sibuk suasana di negeri ini. Bazar-bazar Ramadan diwujudkan di bandar-bandar utama tiap daerah negeri ini. Di Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Putih, Tanah Merah, Bachok, Jeli dan Rantau Panjang, ramai yang berkunjung membeli hidangan untuk berbuka puasa. Ini sudah menjadi satu tradisi.
Itulah sedikit jawapan dari saya, bila saya ditanya mengenai negeri Kelantan. Jawapan ini tidak meliputi semua aspek kehidupan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Ia cuma menggambarkan sedikit ehwal fizikal dan warga negerinya. Saya akan sambung jawapan ini dalam artikel saya yang akan datang.
Komen Terbaru