
Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua dari kanan) memberi nasihat kepada peniaga
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan setakat ini berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, keadaan itu menunjukkan tahap kesedaran peniaga dalam menjaga aspek kebersihan adalah lebih baik berbanding tahun lalu.
“Bila kita membuat kajian terhadap sampel makanan yang diambil di bazar-bazar Ramadan sebelum ini, kita menemui mikro organisma dan bahan kimia dalam juadah-juadah tertentu dalam kuih-muih yang menggunakan kelapa parut.
“Kita berharap untuk Ramadan pada kali ini, para peniaga akan terus menitik-beratkan penjagaan kebersihan bagi mengelakkan mereka didenda kerana gagal mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Pemantauan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Sultan Mohamad IV, di sini, semalam.
Yang turut serta dalam program tersebut adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Kelantan.
Ahmad Razin memberitahu, rata-rata peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memakai apron dan menutup makanan.
“Melalui tinjauan yang dibuat di seluruh bazar di Kelantan, kita mendapati kebanyakan peniaga dan pembantu mereka mempunyai kad akuan kesihatan.
Komen Terbaru