Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek yakin harga barangan akan turut kembali normal dalam masa terdekat setelah masalah kekurangan bekalan diatasi.

“Jika banjir terus surut dan cuaca baik, saya harap seminggu dua ini semuanya akan kembali seperti sedia kala, begitu juga dengan harga barangan yang dijangka kembali normal.

“Bagaimanapun di Gua Musang dan Kuala Krai mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk kembali kepada situasi normal berikutan banjir besar yang melanda kawasan tersebut turut menjejaskan perhubungan (jalan raya).

“Namun, kita akan cuba untuk atasi masalah tersebut dengan segera dengan harapan cuaca bertambah baik,” katanya selepas membuat tinjauan harga barang di Pasar Wakaf Bharu di sini hari ini.   UTUSAN ONLINE

‘Padi mungkin tak sempat dituai’

ADAM memindahkan barangan berharga termasuk jentera ladang.

ADAM memindahkan barangan berharga termasuk jentera ladang.

Seberang Perai: “Saya hanya sempat memindahkan barangan penting ke atas meja di rumah yang dinaiki air, namun semuanya ditenggelami banjir,” kata Fadil Abdul Hamid, 38, mangsa banjir dari Kampung Sejagop, Sungai Setimbul, di sini.

Menurutnya, kampungnya adalah kawasan terbaru dinaiki air bermula petang kelmarin dan bencana terbabit dipercayai turut diburukkan lagi dengan keadaan ban kawasan sawah padi milik FELCRA Berhad yang pecah.

“Saya kini menunggu arahan berpindah ke pusat pemindahan banjir daripada pihak berkuasa, tetapi apa yang merunsingkan adalah semua barangan rumah musnah sama sekali,”” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk, Adam Abdul Hamid, 27, berkata, kejadian banjir seperti itu tidak pernah berlaku di kampung mereka sebelum ini.

Menurutnya, jika berlaku pun sebelum ini hanya beberapa jam saja dan air surut selepas itu.

“Tapi kali ini, banjir benar-benar memusnahkan barangan penduduk termasuk sawah padi bakal dituai dalam beberapa hari lagi.   myMetro Online

Nelayan dinasihat sentiasa waspada ekoran amaran angin kencang, laut gelora

KOTA KINABALU: Para nelayan dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak keluar ke laut ekoran amaran angin kencang dan bergelora i yang bakal melanda beberapa kawasan perairan bermula hari ini hingga ke Ahad.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH), Jaafar Alam, ketika dihubungi berkata kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) itu yang meramalkan angin kencang timur laut dan laut bergelora dengan kelajuan angin antara 50 dengan 60 kilometer sejam amat merbahaya kepada kapal-kapal nelayan khususnya nelayan pantai.

Jaafar meminta kepada Pengerusi-Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) seluruh daerah agar memberikan penerangan dan khidmat nasihat di samping memantau pergerakan ahli-ahli masing- masing.    NEW SABAH TIMES ONLINE

Peniaga jual ikan, sayur lebih mahal

KUALA LUMPUR – Harga barangan keperluan harian di beberapa pasar basah di seluruh negara menunjukkan trend kenaikan harga ekoran kekurangan bekalan disebabkan faktor cuaca dan bencana banjir melibatkan beberapa negeri sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, ada antara pasar-pasar basah yang membekalkan ikan segar dan sayur-sayuran di beberapa negeri juga tidak banyak berubah bahkan masih mengekalkan harga sama.

Di ibu negara, harga jualan runcit bagi ikan segar di beberapa pasar sekitar Kuala Lumpur dijangka naik memandangkan bekalan sukar diperoleh dari negeri-negeri pembekal seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan utara tanah air yang terjejas akibat banjir.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Keramat, Pasar Pudu dan Pasar Chow Kit mendapati bekalan ikan segar sangat terhad dan harganya pula menunjukkan peningkatan seperti ikan tenggiri dijual pada harga sekitar RM20 hingga RM24 sekilogram, bawal hitam (RM20-RM26 sekilogram) dan ikan kembung (RM12-RM14 sekilogram).   KOSMO ONLINE