Bagi mereka yang masih ada rumah, terpaksa membaiki pelbagai kerosakan yang berlaku. Sekarang masa untuk mereka bertungkus lumus membersihkan lumpur atau selut yang menerjah rumah mereka. Bukan mudah untuk membersihkan kawasan rumah supaya pulih seperti biasa. Tanpa air dan peralatan yang mencukupi, kerja menjadi berat, apa lagi bagi yang tidak mempunyai keluarga besar atau warga emas. Seorang sahabat yang rumahnya dilanda banjir di Pahang memberitahu, bagai nak patah pinggang menyodok selut dan lumpur di rumahnya. Itu baru lumpur, belum lagi ternakan yang mati bergelimpangan serta sampah sarap.

Bayangkan juga, di hadapan rumah mereka tiba-tiba ‘berkumpul’ balak yang hanyut dibawa arus banjir. Kalau kepingan papan atau zink yang `singgah’ di halaman, boleh juga digunakan untuk membuat atau membaiki rumah. Ini ba­lak. Tidak mudah mengalihkannya. Jelaslah, derita pasca banjir lebih mencabar mangsa. Syukurlah kepada rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan politik yang prihatin menghulurkan bantuan makanan dan pakaian. Apa yang perlu dipastikan bantuan itu sampai kepada sasaran. Berdasarkan keprihatinan rakyat Malaysia, rasanya, tidak ada yang kebuluran atau tidak mampu bertukar pakaian.

Diharapkan cerita pihak-pihak yang dikatakan ‘mengaut keun­tungan’ ketika banjir hanya sekadar laporan palsu. Kita tidak mahu, ketika banjir ini, kawasan tertentu menjadi tempat longgokan pakaian terpakai kerana terlalu banyak yang disumbangkan. Pada masa yang sama tidak ada penyelarasan dilakukan supaya setiap helai yang disumbangkan dimanfaatkan oleh mangsa banjir. Kita juga tidak mahu makanan dibolot oleh satu-satu pihak sahaja atau ‘dilarikan’ oleh orang tertentu. Misi kemanusiaan ketika bencana ini memerlukan penyelarasan yang tersusun.  BACA LAGI DI UTUSAN ONLINE