Ketika musibah itu melanda kampung berkenaan lebih seminggu lalu, dia bersama kira-kira 300 penduduk terpaksa mendapatkan bot untuk menyelamatkan diri dengan berlindung di kawasan tinggi.

Kehadiran anggota penyelamat yang sanggup mengambil risiko menghantar bekalan makanan menggunakan helikopter walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran melegakan mereka, namun trauma dilanda musibah berkenaan belum reda.

Semasa pulang selepas air surut, Awang mendapati kediaman yang menjadi tempat isteri dan empat anaknya berteduh rosak. Kelengkapan dan peralatan di dalam rumah dipenuhi lumpur. Tanaman pula musnah manakala dokumen-dokumen penting tidak sempat diselamatkan.

Awang kini dalam fasa pasca banjir yang merupakan saat kritikal perlu dihadapi oleh mangsa-mangsa dilanda musibah berkenaan. Dalam fasa ini, dia memerlukan bantuan yang tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan, baik pulih dan sokongan moral.

Derita ditanggung Awang merupakan satu daripada pelbagai kisah kesengsaraan dialami puluhan ribu mangsa banjir di negeri ini. Setakat pukul 12 tengah hari kelmarin, sejumlah 27,104 mangsa daripada 7,263 keluarga masih ditempatkan di 123 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah di Pahang. Sebanyak 173 kampung terlibat dan 15 lokasi jalan persekutuan ditutup.

Pergerakan air Sungai Pahang dari hulu ke muara menyebabkan air lambat surut di sesetengah kawasan seperti Pekan dan Maran sekali gus menyaksikan mangsa banjir di Pahang paling ramai berada di pusat pemindah­an pada masa ini berbanding jirannya Kelantan dan Terengganu.   BACA LAGI DI UTUSAN ONLINE